Thursday 25 April 2013

Latihan Pengungsian Bangunan Bersama Bomba & Penyelamat Senawang

Pada 25 April 2013, Unit Keselamatan Sekolah Kebangsaan Lavender Heights dengan kerjasama Balai Bomba Dan Penyelamat Senawang telah menjalankan latihan pengungsian bangunan buat pertama kalinya pada tahun ini.
Loceng kecemasan dibunyikan sejurus selepas seorang murid mengesan terdapatnya punca kebakaran diblok D berdekatan dengan makmal komputer sekolah. Ketua keselamatan, Ustaz Haris Fazilah bertindak mengenalpasti punca berlakunya kebakaran dan mengarahkan murid bergerak pantas dan teratur  menuju ke tempat berkumpul di padang.
Pn. Hamidah Idris, selaku ketua staf pentadbiran memastikan rekod kedatangan murid untuk setiap kelas dibawa ke tempat berkumpul dengan selamat untuk tujuan penyemakan bilangan anggota sekolah. Seterusnya guru kelas memeriksa kelas masing-masing bagi memastikan bilangan murid cukup pada hari tersebut. Setelah memastikan jumlah keseluruhannya, ketua keselamatan melaporkan jumlah anggota sekolah kepada ketua operasi iaitu anggota bomba yang berada di tempat kejadian.
Setelah semuanya selesai, murid-murid dibenarkan untuk kembali ke kelas semula. Manakala guru-guru diberikan taklimat ringkas oleh pegawai bomba yang terlibat. Menurut beliau, latihan ini berjalan lancar dan menepati masa yang ditetapkan. Murid bergerak dengan teratur dan pantas ke tempat berkumpul. Pergerakan pasukan bomba dan penyelamat juga turut mencapai masa yang ditetapkan.
Dalam taklimat ringkas yang disampaikan, beliau mengingatkan agar pihak sekolah memantau alat pemadam api untuk memastikan ianya berfungsi apabila berlakunya kebakaran di sekolah. Beliau turut mengingatkan agar sistem penggera kebakaran sedia ada di sekolah digunakan. 
Akhir sekali, pegawai bomba menegaskan bahawa perlunya seorang yang mahir dalam menggunakan setiap peralatan keselamatan disekolah terutamanya gelendong atau gelung hos kebakaran supaya mudah jika berlaku kebakaran.
Selepas sesi taklimat, pasukan bomba dijamu dengan sedikit jamuan ringan. Kemudian murid Prasekolah diberi peluang untuk melihat dan merasai pengalaman menaiki kereta bomba. 
Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat Balai Bomba Senawang yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan latihan pengungsian bangunan SK Lavender Heights, Taman Bandar Senawang 2013.

















No comments:

Post a Comment